Tuesday, May 1, 2012

Permudahkan Jangan menyukarkan

Posted by zualliz on April 21, 2012

Aku sedang terfikir trademark @ motto blog ni. Bila aku fikir secara mendalam, satu prinsip mudah yang selalu aku pegang dan amalkan dalam hidup; Permudahkan.

Bahkan Junjungan Besar, Nabi Muhammad S.A.W pernah bersabda, yang bermaksud; Permudahkan. Jangan menyukarkan.. (hingga ke akhir hadis).

Kemudahan dalam kehidupan

Setiap manusia inginkan yang mudah. Malah, jika terpaksa memilih antara 2 perkara yang perlu dilakukan, pasti dia akan memilih yang lebih mudah antara keduanya. Tiada sesiapa pun yang mahu melakukan sesuatu perkara yang sukar.

Malangnya, lebih ramai yang mahu kerja yang mudah tapi tak kisah dan tak ambil peduli jika kemudahan yang dipilihnya menyukar dan menyulitkan orang lain. Dia mahu kerjanya jadi mudah, biarpun kerja orang lain menjadi sukar.

Antara kerja yang boleh dipermudahkan ialah dalam memohon sesuatu sumbangan, kerja atau sesuatu yang lain dan perlu melalui kerenah birokrasi. Sesuatu permohonan kadang kala memakan masa yang lama, hanya untuk memohon kelulusan orang atasan. Kemudian perlu melalui proses lain untuk memberikan sesuatu yang dipohon.

Cerita paling popular ialah permohonan sedikit sumbangan dari pertubuhan untuk muallaf (saudara baru). Perlu melalui banyak proses, kerenah dan masa yang panjang hingga membuatkan pemohon terus berputus asa. Disebabkan tu juga, banyak muallaf berpatah balik kepada agama lama.

Teringat aku kepada satu artikel dalam sebuah majalah, berkaitan solat Subuh. Si penulis berhenti di sebuah tempat untuk menunaikan solat Subuh, namun surau yang ada hanya dapat memuatkan sedikit orang. Melambatkan lagi apabila si imam tadi berwirid biasa (wirid Subuh yang panjang). Orang yang menunggu di luar berteriak, “Baca wirid pendek-pendek dah la…”.

Apabila habis wirid dan doa, imam tadi berkata kepada si penulis (ketika di luar surau), “Orang zaman sekarang nak semua cepat je.”.

Bila aku baca kisah sebegini, yang bermasalah sebenarnya ialah si imam. Imam sepatutnya hanya membaca wirid yang ringkas atau terus membaca doa selepas solat. Memang disunatkan membaca wirid selepas solat tetapi perlu tengok keadaan juga. Jika terlalu ramai yang menunggu, lakukan yang asas dan paling ringkas. Ia juga menjimatkan masa orang lain.

Ooppsss, bermasalah tu maksudnya (bagi aku) ialah salah kefahaman. Besar bezanya maksud cepat dan mudah. Jika sesuatu kerja boleh dipermudahkan (bergantung kepada keadaan), lakukan yang mudah. Cepat selalunya tergesa-gesa dan kelam-kabut.

Kisah pasal solat ni, aku sendiri pernah mengalami keadaan yang hampir sama. Aku dan kawan aku (3 orang) pergi ke sebuah kompleks membeli-belah.

Apabila tibanya waktu solat, seorang kawan aku menjadi imam. Lepas solat, dia berwirid seperti biasa. Dia berwirid seperti semasa di rumah.

Yang lebih penting pada masa tersebut, tunaikan solat dalam waktunya. Namun perlu juga diberikan keutamaan untuk orang lain menunaikan solat kerana saiz surau yang kecil. Jika terlalu lama berwirid, ia akan membuatkan orang lain menunggu dan membuang masa.

Kenapa aku bercerita semua ini?

Oh ya, aku sendiri pun baru membeli sebuah buku bertajuk ‘Mudahkan. Jangan susahkan’. Semacam mengena dengan motto blog ni.. Beli pula dengan menggunakan Baucar Buku 1 Malaysia.




Aku bercerita semua ni supaya sesiapa pun berusaha mempermudahkan kerja yang boleh dipermudahkan. Jangan menyukarkan atau menyulitkan. Kecuali jika ia adalah tuntutan agama dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi mengikut criteria yang ditetapkan.

Jika ia hanya ciptaan manusia dan kita berkuasa mengubahnya menjadi lebih mudah, permudahkan. Jangan menyukarkan.

http://zuhairzainol.com/?p=70

No comments:

Post a Comment