Sunday, June 17, 2012

Membalas kejahatan dengan kebaikan


Ahad, 17 Jun 2012
By: Alfi Mohd

Tentu anda semua pernah terdengar atau ada membaca tentang kisah Rasulullah SAW yang telah ke kota Taif untuk mendapat perlindungan tetapi penduduk di situ mencaci dan mencederakan Baginda dengan balingan batu. Kali ni saya nak kongsikan kisah Baginda yang sungguh mulia ini bagaimana Baginda membalas kejahatan atau hinaan dengan doa Baginda yang akhirnya membawa keberkatan sehingga Baginda wafat. Kisah ini baru sahaja saya refresh dengan membaca buku karya Syed Alwi Alatas, "Mudahkan Jangan Susahkan".

Baginda telah ke Taif untuk berdakwah. Ketika itu Baginda baru sahaja kehilangan isterinya Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Kerana tiada perlindungan di Mekah, maka Rasulullah SAW pergi ke kota Taif dengan harapan para pemuka kota itu boleh menerima Baginda untuk menyampaikan seruannya. Tetapi yang diterima adalah sebaliknya.



Sewaktu Baginda ke sana bersama anak angkatnya, Zaid Bin Haritsah untuk bertemu dengan 3 pemuka kota itu, antaranya Abd Yalail, tidak seorang pun daripada mereka yang sudi menerimannya. Baginda cuba pula berbincang dengan para pemuka kota Taif yang lain namun mereka juga tidak mahu menerimannya. Baginda malah diusir keluar dari kota itu. Dalam perjalanan keluar dari Taif, Baginda dibaling dengan batu dan dicaci maki oleh sekumpulan pemuda dan kanak-kanak. Zaid bin Haritsah berusaha sedaya upaya melindungi Baginda daripada balingan batu-batu namun, balingan batu itu terkena juga pada tubuh Baginda yang mulia sehingga luka dan berdarah.

Mereka hanya berhenti membaling setelah Baginda masuk ke sebuah kebun yang terletak 3 batu dari kota Taif. Di kebun itu Baginda duduk menenangkan diri. Kemudian baginda berdoa dengan doa yang menyentuh kalbu:

" Ya Allah! Sesungguhnya kepadaMu aku mengadukan kelemahan diriku, amat sedikitnya upayaku serta hinanya diriku di hadapan manusia, wahai yang Maha Pengasih di antara para pengasih!

Engkau adalah Tuhan orang-orang yang tertindaas, Engkaulah Tuhanku, kepada siapa lagi Engkau akan menyerahkan diriku? Kepada orang lain yang bermuka masam kepadaku? Atau kepada musuh yang telah menguasai urusanku?

Jika Engkau tidak murka kepadaku, maka aku tidak peduli, akan tetapi keampunan yang Engkau anugerahkan adalah lebih luas bagiku.

Aku berlindung dengan perantaraan Nur wajahMu yang menyinari segenap kegelapan dan yang kerananya urusan dunia dan akhirat menjadi baik. Agar Engkau tidak turunkan murkaMu kepadaku atau kebencianMu melanda diriku. Engkaulah yang berhak menegurku hingga Engkau menjadi redha. Tiada daya serta upaya melainkan keranaMu".

Selepas beberapa waktu Baginda berdoa, Baginda didatangi oleh 2 malaikat iaitu Jibrail dan malaikat penjaga gunung. Jibrail memberitahu baginda bahawa Allah telah mengutuskan malaikat penjaga gunung untuk diperintahkan oleh Baginda agar membalas kembali apa yang telah dilakukan oleh penduduk kota Taif. Namun perhatikan apa yang dikatakan oleh Baginda:

"Bahkan aku berharap pada Allah kelak akan lahir dari tulang sulbi mereka kaum yang menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu".

Itulah jawapan Baginda. Baginda telah disakiti dan dilukai. Namun Baginda tetap mendoakan kebaikan untuk mereka.



Dan ada satu lagi kejadian yang melibatkan penduduk kota Taif dengan Baginda iaitu selepas penaklukan kota Mekah pada tahun 8 hijrah. Ada para sahabat meminta agar didoakan dengan doa keburukan kepada penduduk kota Taif ini namun Baginda tidak melakukannya malahan Baginda mendoakan kebaikan. Baginda berdoa:

"Ya Allah, berilah petunjuk kepada orang Tsaqif (Taif) dan bawa mereka datang".

Dan Alhamdulillah, Allah memperkenankan doa Baginda setahun setelah kejadian tersebut. Penduduk Taif mula mahu memeluk Islam dengan keislaman yang baik.

Selepas habis membaca kisah ini, saya berharap Allah dapat memberikan saya secebis daripada kesabaran dan semangat Baginda kepada saya. Aminnn...

http://alfimohd.blogspot.com/2012/06/membalas-kejahatan-dengan-kebaikan.html

Wednesday, June 13, 2012

Mudahkan Jangan Susahkan-Dr Teamint

By: Dr. Teamint

Renungan dan kisah-kisah berinspirasi dalam menghadapi kesusahan

Syed Alwi Alatas

Dalam hidup ini kalau boleh tiada manusia yang gemar kesusahan
tapi kesusahan yang datang dalam hidup kita datang daripada-Nya sebagai ujian untuk kita
sama ada kita menganggap kesusahan itu akan menjadi guru yang baik atau kita kalah dengan kesusahan itu
semuanya bergantung pada reaksi kita

Buku ini terbahagi kepada beberapa bab:

1) Manusia dan kesusahan hidup
2) Tuhan tidak ingin menyusahkan manusia
3) Jangan semua dipandang mudah
4) Susah di dalam sudah di luar
5) Hadapilah kesusahan itu
6) Belajar daripada sejarah
7) Apakah ini menyusahkan?
8) Kemudahan akan menemui jalannya
9) Agar menjadi lebih mudah
10) Mudahkan diri, mudahkan orang lain

Penulis menyelitkan kisah-kisah dalam setiap bab untuk menjadikan buku ini lebih sedap dibaca
kisah-kisah yang diselitkan berkaitan dengan apa yang cuba disampaikan oleh penulis dalam setiap bab

http://seminarbukufilem.blogspot.sg/2012/05/mudahkan-jangan-susahkan.html

Mudahkan Jangan Susahkan

By: Faridah Mohd Ali

Sambil menunggu appointment dan prospek,
aku habiskan buku ni.

Mudahkan Jangan susahkan
oleh Syed Alwi Alatas.
terbitan Galeri Ilmu.

Alhamdulillah, semakin faham perjalanan hidup
dalam mencari reda Ilahi.
Lebih faham perjalanan dan liku2 hidup manusia.
Ada susah dan ada senang.
Ada payah dan ada mudah.
Ada perit dan ada manis.

Semakin terang petunjukMu ya Allah.
Bagi anda, yang sedang susah, payah dan perit, bacalah buku ini.
Bagi anda yang sedang suksess, berjaya, kaya raya dan hebat, bacalah buku ini.
Moga kita terus disinari cahaya iman
buat penyuluh hidup sepanjang zaman
sehingga kita menutup mata.
Moga akhirnya doa kita, matinya kita nanti
dalam keadaan baik diredai Ilahi.
Amin

http://faridahmohdali.blogspot.sg/2012/06/mudahkan-jangan-susahkan.html

Monday, June 11, 2012

Review buku Mudahkan-Najibah


By; Najibah

Pengarang yang pernah muncul dengan bestseller Bila Allah Menduga Kita, sekali lagi muncul dengan buku yang membawa motivasi menyegarkan - dibumbui kisah dan anekdot yang mampu menyuluh pemikiran dan melembutkan hati.

Buku ini menggamit pembaca untuk merenung semula segi-segi yang adakalanya kita terlepas pandang ketika mencari dan mengimpi kemudahan dalam segenap rentetan hidup. Ini kerana naluri manusia sememangnya mencintai kemudahan dan benci kepada kesusahan.

Bab pertama buku ini berjudul Manusia dan Kesusahan Hidup, membawa pembaca merenung mengenai hakikat kesusahan, sesuatu yang perlu kita tempuh sebagai manusia. Hanya dengan kesusahan maka hidup ini mempunyai makna, dan kesusahan itu juga menjadi daya gerak ke hadapan.
Kesusahan jika dilihat dari persepsi berbeza, mampu memberi impak yang berbeza dalam kehidupan seharian. Jadi ia berbalik kepada cara kita memandang sesuatu.

Dalam bab kedua Tuhan Tidak Ingin Menyusahkan Kita, pengarang menambah nilai agama terhadap makna kemudahan dan kesusahan, menjelaskan lagi bagaimana seorang Muslim patut menimbang kedua-duanya. Antara yang menarik adalah kisah Nasruddin Hoja yang mencari barang yang hilang di tempat yang tidak sepatutnya, menjadi sindiran tajam dalam konteks mencari kemudahan biar bertempat.



Bab ketiga Jangan Semua Dipandang Mudah memperteguh lagi isi dalam bab kedua, yang bercerita mengenai kepentingan tidak memandang mudah semua perkara. Ini adalah antara bab yang paling saya suka, kerana seringkali aspek ini yang paling sering terlupakan ketika naluri kita mendamba kemudahan. Adakalanya dosa itu tampak mudah di dunia, tetapi di akhirat menjadikan kita sangat susah.

Selain itu, bab keempat juga memberi sudut pandang yang bernas, mengenai Susah di Dalam Susah di Luar. Di situ ada beza yang nyata, antara kesusahan yang sudah menjadi raja di hati, dengan kesusahan yang kita tangani secara hikmah. Banyak kisah pembuka minda yang boleh direnungkan seperti cerita Cak To, tiga pengembara dan Syaqiq al-Balkhi dengan Ibrahim Adham.

Namun, apabila tangan kesusahan mencengkam kita dengan kuat, pesan pengarang adalah untuk Hadapilah Kesusahan Itu (Bab 5), dengan mencipta kemudahan, berdoa, bertawakal, memanfaatkan imaginasi, serta kekal positif secara praktis dan teori. Cerita Abdul Ghafoor dan Soros memberi gambaran lebih jelas bagaimana orang-orang yang hebat menghadapi kesusahan.

Sudah tentu dalam memperkata kesusahan tidak lengkap jika kisah dakwah Rasulullah s.a.w. yang penuh ujian dan tribulasi tidak dijengah. Dalam bab enam Belajar Daripada Sejarah, kisah-kisah dakwah diperturun semula dalam bahasa mudah dan dari sudut pandang yang menyegarkan. Antara yang mengesankan adalah bagaimana menguasai perasaan di kala kesusahan itu mampu menghalang musibah yang lebih besar yang mungkin terjadi, dan di sini kisah ketewasan Muslimin dalam perang Uhud benar-benar menyentuh. Manakala kisah perang Khandaq menuntut bakaran semangat pada saat-saat paling genting. Sejarah Rasulullah sentiasa mengajar supaya meletakkan Allah dan Rasulullah sebagai penawar segala musibah, menjadikan kedua-duanya pengubat hati orang-orang Mukmin. Kisah Qadi al-Fadhil juga sangat menginsafkan, dengan kecacatannya mampu mengubah rentetan sejarah, dan Salahudin al-Ayyubi dan Muhammad al-Fatih sendiri tidak melalui jalan yang mudah dalam menjadi pahlawan ulung Islam. Begitu pula Malcolm X, mengambil contoh dari zaman kini.

Seterusnya bab tujuh Apakah Ini Menyusahkan? menyenaraikan prinsip-prinsip yang harus dipegang bagi sesiapa yang ingin mencari kemudahan hakiki dalam hidup. Mungkin sesetengah prinsip ini susah dilaksanakan, tetapi sebenarnya wajib dimiliki oleh setiap orang. Teristimewa adalah sikap jujur dan mencari yang halal, yang dalam zaman kini sering dianggap suatu kebodohan jika pada permukaannya terlihat merugikan. Padahal di sebaliknya ada kesenangan yang terbentang, penuh keberkatan.

Setelah melalui pelbagai kesusahan dan kesulitan, Kemudahan Akan Menemui Jalannya (Bab 8), dan inilah yang diyakini oleh pengarang serta dimantapkan dalam bab ini. Manis sekali apabila pengarang menyimpulkan bahawa apa yang dipilih Allah untuk seseorang, adalah lebih baik daripada pilihannya sendiri. Meskipun ada pengulangan yang telah disentuh bab-bab di atas tetapi kisah-kisah yang dihidangkan adalah penguat kepada kenyataan-kenyataan terdahulu, menyokong judul yang dibawakan pengarang.

Bab 9, Agar Menjadi Mudah menghidangkan lebih banyak tips dan formula, bagaimana mencapai kemudahan dalam setiap perkara yang diusahakan. Niat yang baik, kemahuan yang kuat, persediaan rapi, usaha yang keras dan sikap hati-hati dapat membantu dalam banyak hal untuk menghindari dan melepasi setiap kesusahan yang bakal datang.

Bab akhir sekali, Mudahkan Diri Mudahkan Orang Lain, mengajak pembaca untuk turut menciptakan kemudahan untuk orang lain, bukan hanya diri sendiri. Secara tidak langsung, kemudahan yang dicipta untuk orang lain itu, nescaya akan membawa kemudahan berganda pula kepada yang mencipta kemudahan itu.

Buku ini sendiri secara keseluruhannya adalah buku yang mudah dihadam, kerana cara penyampaiannya yang bersahaja dan tidak berat, sesuai dengan judul dan konsepnya untuk memotivasikan secara berhikmah. Buku ini sesuai terutama kepada para pelajar yang sedang mendaki tangga pengajian ke peringkat lebih tinggi dan sedang memasuki dunia kerjaya, selain secara umumnya untuk sesiapa sahaja yang mencari kemudahan hidup, tetapi belum berasa puas, atau yang bergelumang dengan kesusahan, dan berasa sangat resah. Mungkin buku ini akan dapat membuka beberapa aspek sudut pandang dan memberi makna baru kepada susah senang kehidupan.

http://www.goodreads.com/book/show/13599846-mudahkan-jangan-susahkan