Sunday, May 13, 2012

MUDAHKAN JANGAN SUSAHKAN - SYED ALWI ALATAS

Review by: Mina

Assalamualaikum WBT

Manusia sememangnya menyukai akan kemudahan. Jika ada dua pilihan di hadapan, mereka akan cenderung memilih yang lebih mudah. Bahkan jika pada suatu masa pilihan yang mereka ada dianggap sukar untuk dilakukan, maka mereka akan mencari jalan mencipta sesuatu yang baru agar aktiviti mereka menjadi lebih mudah untuk dilakukan. Mereka tidak menyukai kesusahan dan akan berusaha sedaya upaya untuk menghindarinya.

Buku ini menghidangkan paparan tentang kesusahan dalam hidup dan bagaimana cara untuk menghadapinya. Ia berbicara tentang bagaimana melihat kesusahan dengan pandangan yang mudah serta bagaimana mengubah kesusahan itu agar menjadi kemudahan. Semua orang menyukai kemudahan dan tidak menyukai kesusahan. Tetapi tidak semestinya kesusahan itu dibenci dan membuatkan kita lari daripadanya. Kesusahan merupakan bahagian yang tidak mungkin dipisahkan daripada kehidupan ini. Maka yang perlu kita lakukan adalah kemampuan untuk melihat kesusahan itu secara positif dan kemampuan untuk menghadapinya dengan penuh kesabaran.

Buku ini mengandungi banyak kisah kehidupan manusia yang boleh dijadikan contoh dan perbandingan. Sesusah-susah kehidupan kita, sudah tentu masih ada orang lain yang lebih susah berbanding kita. Terdapat banyak kisah-kisah yang boleh dijadikan iktibar dipaparkan di dalam buku ini. Dalam setiap bab, pasti ada kisah menarik yang dikongsi oleh penulis. Pendek kata, penulis sememangnya menjadikan kisah kehidupan orang lain sebagai intipati penulisan buku ini. Pengalaman dan kisah kehidupan orang lain boleh dijadikan sebagai motivasi dan perbandingan untuk pembaca lebih bersyukur dan tidak mudah berputus asa dengan rahmat Allah swt. Semoga dengan membaca kisah-kisah benar orang lain, pembaca tidak terkurung dalam dunia mereka sendiri dan semoga ianya boleh memberi banyak pengajaran sebagai panduan kepada pembaca.


Pertama kali terpandang tajuk buku ini, hati mula tertarik untuk memiliknya. Setibanya saya di rumah, terus saja saya membedah buku ini kerana mahu mencari apa yang menarik tentang tajuk dan kandungan buku ini. Nampaknya kandungan buku ini sangat menarik kerana penulis telah berjaya menjentik cara berfikir saya. Saya sememangnya tidak gemar jika ada perkara yang mudah tetapi sengaja disusahkan. Sebenarnya di dalam kehidupan seharian kita, banyak berlaku perkara yang sedemikian. Contohnya seperti birokrasi yang berlaku semasa kita berurusan dengan badan-badan tertentu. Urusan yang boleh diselesaikan dalam masa beberapa minit, akan jadi berlanjutan hinga dua tiga hari untuk diselesaikannya. Mengapa tidak memudahkan saja segala urusan itu daripada terus menarik masa untuk menyusahkan orang lain?. Kadang-kala sikap bertangguh juga sangat memudaratkan orang lain. Marilah kita sama-sama mengoreksi diri agar setiap apa saja tindakan yang kita lakukan di dalam kehidupan ini tidak akan menyusahkan orang lain dan jika kita pernah tersasar dalam menyusahkan orang lain, segeralah kita berubah dan memudahkannya. Semoga apabila kita memudahkan urusan orang lain, Allah swt juga pasti akan memudahkan urusan kita.

Terlalu banyak kisah-kisah menarik yang dipaparkan dalam buku ini. Namun, saya hanya ingin menyentuh tentang dua kisah yang pada pendapat saya sangat hebat. Kisah pertama adalah tentang kisah Malcolm X yang merupakan seorang mubaligh Islam dan tokoh pembela hak asasi manusia yang sangat berpengaruh di Amerika Syarikat. Semenjak kecil Malcolm X telah kehilangan ayah dan ibu. Malcolm X dan 7 adik beradiknya telah dibesarkan di rumah anak-anak yatim dan hidup berasingan. Sangat tragis kisah zaman kecil Malcolm X ini. Kerana tekanan hidup sejak dari kecil Malcolm X akhirnya terjebak dengan pelbagai kegiatan jenayah dan akhirnya dipenjarakan.

Semasa berada di penjara, Malcolm X telah menjalani proses rehabilitasi. Malcolm X banyak membaca selama berada di penjara dan menjadikan buku-buku sebagai guru pembimbingnya Malcolm X juga telah bergabung dengan kumpulan debat penjara. Malcolm X mempunyai bakat yang cemerlang dalam berpidato dan mempengaruhi orang ramai. Keluar dari penjara, Malcolm X terus mendalami ajaran Islam dan menunaikan haji ke Mekah. Setelah dia benar-benar memahami ajaran Islam, Malcolm X pulang ke negara asalnya dan mula berdakwah di sana hinggalah ajal menjemputnya.

Begitulah serba sedikit ringkasan kisah Malcolm X yang turut dimuatkan di dalam buku ini. Jika pembaca ingin membaca kisah Malcolm X dengan terperinci, bolehlah mendapatkan buku ini kerana kisah tentang Malcolm X ini sangat panjang dan menarik untuk dijadikan pengajaran buat kita semua. Kisah kedua yang saya rasa tidak kurang menarik adalah kisah seorang lelaki yang bernama Pahutar.

Pahutar tinggal di sebuah ladang di atas pergunungan yang jauh dari kehidupan moden warga kota. Di kawasan ladang itu, Pahutar membina sebuah rumah kayu untuk dia diami. Rumah kayu itu sangat sederhana besarnya. Di ladang itu, Pahutar telah bercucuk tanam berbagai sayur mayur dan beras. Walaupun Pahutar tinggal di kawasan pergunungan dan jauh dari arus kemodenan, namun Pahutar merupakan seorang lelaki yang sentiasa berfikiran positif dan suka membaca. Di rumah kayu yang sederhana itu terdapat buku-buku dan bahan bacaan yang lainnya. Pahutar banyak membaca dan dia merupakan seorang muslim yang selalu berusaha untuk menjadikan agamanya sebagai rujukan dalam menjalani kehidupan seharian.

Hal ini telah terbukti kerana Pahutar sanggup menolak untuk mendapat jawatan yang sudah hampir menjadi miliknya dengan syarat dia perlu menyediakan wang sogokkan. Hal sogokkan rasuah memang sudah menjadi perkara wajar dan perkara ini sangat berleluasa berlaku di badan-badan kerajaan di Indonesia. Demi untuk mengelakkan diri dari terjebak dengan gejala rasuah itu, Pahutar telah mengambil keputusan untuk mengasingkan diri dari arus yang tidak baik itu dan berpindah ke daerah lain untuk membina penghidupan yang lebih bermakna mengikut syariat Islam. Walaupun serba kurang dari segi material namun Pahutar kaya dengan ketenangan hati dan dia berpendapat mencari yang halal itu adalah wajib manakala perkara yang haram perlu dihindari kerana yang halal itu tidak akan habis sehingga ke hari kiamat. Yang penting kita wajib mencarinya.

Kisah tentang Pahutar ini agak panjang, namun saya cuba meringkaskannya untuk memudahkan pembaca memahami tentang intipati yang termuat di dalam buku ini. Saya cadangkan kepada pembaca untuk membeli dan membaca sendiri buku ini kerana terlalu banyak kisah-kisah menarik yang telah dikongsi oleh penulis. Kebanyakan kisah-kisah yang dipaparkan berkisar di Indonesia kerana penulis berasal dari sana. Wallahualam.


CARILAH PERKARA DAN MAKLUMAT YANG BERMANFAAT KERANA IA AKAN MENDATANGKAN BANYAK KEMUDAHAN. JANGAN MENCARI-CARI HAL YANG TIDAK PERLU DAN TIDAK MEMPUNYAI APA-APA KEBAIKAN KERANA IA HANYA AKAN MEMBAWA MASALAH BUAT KITA

http://jomsewabuku.blogspot.com/2012/05/mudahkan-jangan-susahkan-syed-alwi.html

No comments:

Post a Comment